Wednesday, October 15, 2008

PILIHANRAYA KAMPUS SENGIT

PLEASE CLICK HERE: Pilihan raya IPTA sengit

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Persaingan sengit dijangka berlaku pada pilihan raya kampus universiti-universiti utama di Lembah Klang yang membabitkan calon Aspirasi dan calon Pro-Mahasiswa.
Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi menunda pilihan raya kampus ke Januari depan bagi universiti di sekitar Lembah Klang namun beberapa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dihubungi oleh Utusan Malaysia memberitahu segala persiapan hampir mencapai 100 peratus.
Bekas Yang Dipertua MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Sabrie Mohamad Salleh berkata, kedua-dua pihak kini hanya menunggu tarikh pilihan raya kampus sebenar.
"Kumpulan Aspirasi sudah mempunyai calon-calon yang berkelayakan serta berkaliber dan di pihak Pro-Mahasiswa pula, calon-calonnya banyak menonjolkan di kalangan mahasiswa,'' katanya.
Menurutnya, mereka berharap satu pertandingan bersih dan sihat dapat diwujudkan tanpa sebarang unsur fitnah memfitnah.
"Apa-apa pun, pihak Aspirasi yakin mampu mengekalkan kemenangan besar seperti tahun lepas di mana 42 daripada 48 kerusi berjaya dimenangi oleh kami,'' katanya.
Baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi menetapkan pilihan raya kampus diadakan pada dua tarikh berbeza dengan beberapa IPTA di luar Lembah Klang akan mulai mengundi pada hari esok.
Sementara bagi IPTA yang berada di sekitar Lembah Klang, pilihan raya memilih MPP itu ditangguhkan ke Januari depan.
Bekas Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Muhammad Adib Hatim, berkata, kemungkinan akan berlaku saingan tiga penjuru pada pilihan raya kampus universiti berkenaan.
"Jika pada tahun lepas, hanya membabitkan dua pihak sahaja namun kali ini ia bakal menampilkan persaingan berbeza kerana terdapat satu pasukan yang tidak mewakili Aspirasi atau Pro-Mahasiswa akan turut serta bertanding,'' katanya.
Jelas Adib lagi, beberapa kerusi panas seperti Fakulti Undang-Undang dan Ekonomi dijangka menarik perhatian banyak pihak.
"Difahamkan, terdapat seorang anak menteri Kabinet yang mewakili Aspirasi akan bertanding di kerusi Fakulti Undang- Undang dan jika ia berlaku maka pertandingan akan bertambah menarik,'' katanya.
Berbeza pula di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila bekas YDP MPP UKM, Mohd. Zaid Mohd Idrus, mengakui perkembangan menghadapi pilihan raya kampus masih terlalu perlahan.
"Kebanyakan mahasiswa di UKM sedang sibuk menghadapi peperiksaan akhir semester satu tidak lama lagi namun sebarang perkembangan sentiasa dipantau oleh kami,'' ujarnya.
Bagaimanapun, dia optimis pihak Aspirasi mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihan raya kampus pada masa akan datang walaupun persaingan dijangka seimbang.
Bagi bekas MPP Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Lokmannulhakim Mohd Idris berharap mana-mana calon yang bertanding mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada mahasiswa walaupun berbeza dasar perjuangan.
"Di sini, perkembangan masih terkawal namun keharmonian masih terjaga di antara kedua-dua pihak dan saya harap perkembangan baik ini boleh diteruskan pada kepimpinan MPP UiTM Shah Alam akan datang,'' jelasnya.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm