Monday, July 7, 2008

HIMPUNAN PROTES DIPERSOAL

Hati saya terdetik untuk menghadiri dan melihat dengan lebih dekat perhimpunan PROTES sejuta rakyat pada 6 Julai di Stadium MBPJ yang pada jangkan saya akan dihadiri oleh ratusan ribu lapisan rakyat seluruh Malaysia bertujuan mendesak pihak kerajaan mengkaji semula keputusan menaikkan harga minyak pada 5 Jun lalu. Himpunan selama sehari suntuk yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) serta pakatan beberapa parti politik akhirnya bertukar kepada beberapa perkara yang dikesali dan perlu dipersoalkan.

Pertama, aturcara himpunan yang dilihat tidak kemas dan agak berterabur jelas menunjukkan kegagalan pihak penganjur melaksanakan agenda pada hari tersebut dengan baik. Keadaan himpunan yang sepatutnya menperlihatkan tekanan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah akhirnya bertukar kepada satu ‘Karnival Meraikan Kenaikan Harga Minyak”

Kedua, pembaziran wang, masa dan tenaga terlalu banyak berlaku. Selama ini, pihak NGO dan parti politik terbabit seringkali menghentam pihak kerajaan kerana membazirkan wang rakyat. Walau bagaimanapun, acara pada kali ini jelas menununjukkan kegagalan pihak terbabit menunujukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Ketiga, elemen hiburan yang keterlaluan. Penganjuran himpunan yang sepatutnya mewujudkan gelombang kesedaran kepada masyarakat berikutan kesan kenaikan harga minyak bertukar seolah-olah menjadi konsert hiburan melampau. Di saat masyarakat berpendapatan rendah seperti petani dan nelayan terpaksa mengikat perut kesan kenaikan harga minyak dan barang keperluan, seolah-olah penganjur meraikan dengan pesta hiburan melampau. Menjemput artis sebagai candu kepada masyarakat dalam kesengkangan perut.

Pada hemat saya, adalah lebih wajar wang yang dilaburkan semata-mata untuk himpunan terbabit yang tidak memberi faedah kepada rakyat diberikan kepada golongan miskin yang memerlukan. Pihak Pakatan Rakyat telah diberi peluang untuk mentadbir lima negeri selepas pilihanraya 8 Mac yang lalu, laksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada anda.Kurangkan bercakap di sana sini, sebaliknya bekerja dengan tekun dan ikhlas serta melaksanakan manifesto dan janji manis yang ditabur kepada kepada masyarakat dan pengundi di kawasan anda. Anda adalah ikon kepada masyarakat. Jangan terlalu berbangga dengan apa yang anda miliki pada hari ini kerana semuanya adalah milik yang Maha Esa. Dia berhak menarik nikmat pada bila-bila masa yang dikehendakinya.

Saya mewakili golongan mahasiswa berharap agar pihak kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat. Tidak ada gunanya berkempen, berceramah menghentam sesama sendiri semata-mata, meminta rakyat berjimat cermat tetapi dalam masa yang sama mereka adalah pengkhianat wang rakyat. Kami Majlis perwakilan Pelajar UIAM berharap semua pihak yang memerintah dapat memberikan contoh yang baik kepada kesemua rakyat jelata tidak kira dari latar belakang mana sekalipun. Rakyat adalah yang paling utama.

MUHAMMAD ADIB BIN HATIM
Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar 2007/2008
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments: