Tuesday, April 14, 2009

AL FATIHAH.....



AL FATIHAH khusus buat akh Ahmad Syukri Abd Kadir @ Bayyi yang telah kembali ke rahmatullah pada 13 APRIL 2009 @ Isnin... Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat... Amin....
Mengimbau kenangan bersama Allahyarham.. Beliau merupakan NAQIB usrahku di semester pertama aku melangkah kaki ke kampus UIAM Gombak... Beliau yang ku kenali sejak di Pusat Matrikulasi UIAM lagi merupakan seorang yang begitu tenang melayan karenah 'adik-adik junior' yang baru menjejakkan kaki ke alam kampus. Sifat sabar, mudah tersenyum dan pemurah memang tidak dapat dinafikan lagi khususnya di kalangan Abnaul Harakah di UIAM... Kereta Kenari miliknya sudah menjadi harta wakaf untuk menggerakkan kerja-kerja jemaah... Sikap tenangnya amat aku kagumi khususnya semasa beliau menjadi pengemudi Tarbiyyah tahun 05/06 bersama akh syaari.. Kenangan yang tidak dilupakan setahun lalu iaitu semester 2, 07/08 di mana beliau bersama-sama denganku mengikuti kelas Intro to Sociology... Beliau ditemani rakan karibnya, Akh Hanafi yang sentiasa berada di sisinya..Melihat dirinya yang kian hari kian uzur, terpaksa menggagahkan kaki ke kelas menyebabkan aku insaf seketika, orang yang sakit masih tetap bersemangat ke kuliah walhal orang yang sihat selalu memberi 1001 alasan....
Walaupun aku hanya sempat bertemu dengan beliau untuk kali terakhir setahun lalu ketika beliau dirawat di HKL, tetapi aku yakin semangat perjuangan untuk menegakkan kalimah ALLAH tidak pernah lentur dalam dirinya... Semoga ketabahan beliau mengharungi liku-liku hidup menjadi contoh inspirasi kita terutama yang mengenali diri beliau...
AL FATIHAH.....

Thursday, April 9, 2009

Kabinet 2009: Kejutan atau Jangkaan?

Y.B. Ahmad Maslan (Pontian)
Timb. Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Y.B. Razali Ibrahim (Muar)
Timb. Menteri Belia dan Sukan
Y.B. Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat)
Timb. Menteri Pelajaran

Kabinet 2009 telah selamat diumumkan secara rasmi pada petang semalam @ Khamis 9 April 2009. Ketika artikel ini ditulis, jemaah menteri dan timbalan menteri yang dilantik sedang menangkat sumpah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di hadapan Yang Di Pertuan Agong. Barisan Kabinet yang disifatkan menggabungkan muka lama dan baru untuk merealisasikan hasrat yang sering dilaung-laungkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak iaitu 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan'. Adalah diharapkan kata-kata indah tersebut direalisasikan demi kepentingan rakyat bukan dijadikan sebagai manifestasi yang retorik indah di telinga semata-mata.

Kabinet kali ini memperlihatkan 7 orang menteri kabinet digugurkan iaitu Menteri Dalam Negeri, Dato Syed Hamid Albar, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A Aziz; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan; Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique. Antara Timbalan menteri yang digugurkan ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron dan Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon.
Keciciran nama Ketua Pemuda UMNO yang baru, Y.B. Khairy Jamaluddin dilihat sebagai salah satu usaha Najib menunjukkan kepada rakyat untuk melantik pemimpin yang berintegriti. Khairy yang sebelum ini dikaitkan dengan kesalahan rasuah menjelang Perhimpunan UMNO hanya diberi amaran oleh Lembaga Disiplin parti. Cukup menakjubkan saya, walaupun diisytiharkan bersalah, namun beliau tetap menang jawatan ketua Pemuda tersebut dengan majoriti lebih 50 undi berbanding dua calon favourite yang lain iaitu Datuk Seri Mohd Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir.

Walau bagaimanpun, Sebagai anak jati Johor, saya turut berasa teruja melihatkan kementerian penting yang menguasai isu pendidikan dalam kerajaan diterajui pemimpin dari Johor. Selain Tan Sri Muhyiddin Yasin (Pagoh) yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Y.B. Dr. Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat) dan Datuk Dr. Wee Kah Siong (Ayer Hitam). Kementerian Pengajian Tinggi turut memperlihatkan Datuk Mohd Khaled Nordin (Pasir Gudang) meneruskan tanggungjawab yang digalas olehnya sejak setahun lalu. Timbalannya iaitu Dr. Hou Kok Chung (Kluang) juga merupakan anak jati Johor. Turut tersenarai dari Johor ialah Razali Ibrahim, (Timb. Menteri Belia dan Sukan serta ahli parlimen saya sendiri, Ahmad Maslan (Pontian) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Y.B. Ahmad Maslan merupakan seorang pemimpin baru yang dilihat agak bersih dalam kabinet. Anak kampung Parit Yusof, Benut ini seringkali dilihat bersama rakyat dalam majlis keraian, perasmian dan sebagainya. Ucapan beliau yang pada saya agak berbeza dengan kebanyakan pemimpin UMNO yang lain, di mana beliau lebih mementingkan nilai merendah diri dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Pernah menerajui organisasi besar iaitu FELDA menjadikan beliau lebih berpengalaman dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas. Tidak hairanlah rakyat sekitar Pontian lebih mengenali beliau berbanding Ahli Parlimen sebelum ini.

Sekalung tahniah dan takziah kepada beliau atas tanggungjawab baru yang bakal dilaksanakan olehnya. Adalah menjadi harapan saya khususnya dan rakyat daerah Pontian amnya melihat satu anjakan perubahan baru oleh beliau setelah menjawat jawatan Timbalan Menteri selepas ini. Besar harapan kami untuk beliau melaksanakan janji yang telah ditaburkan sebelum ini.

Buat semua jemaah menteri kabinet yang baru, selamat menjalankan tugas dengan jayanya. Tugas berat ini sebagai amanah berat oleh ALLAH s.w.t. bukan untuk dibanggakan semata-mata dan dijadikan batu asas untuk memenuhkan poket peribadi dan kroni semata-mata. Sebaliknya, kepentingan rakyat seharusnya menjadi perkara pokok dalam tindakan.
Selamat bertugas kepada semua Jemaah Kabinet demi kepentingan rakyat :)

Kabinet 2009


Sunday, April 5, 2009

Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan


Walaupun sudah seminggu hari berlalu, saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah dan takziah kepada Peneraju Kepimpinan Negara yang baru, Y.A.B. Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abd Razak. Peralihan kuasa yang berlangsung tempoh hari memperlihatkan seorang yang dilihat lebih muda dan berketrampilan bakal menerajui tampuk nombor satu negara. Umum mengetahui kebijaksanaan lulusan ekonomi dari luar negara ini dari segi pentadbiran dan kepetahannya berpidato dan berucap di khalayak ramai sehingga mampu memukau pendengar. Dari sudut pandang yang berlainan, usia najib yang dilihat agak muda iaitu 56 tahun semasa mengambil tampuk pemerintahan bakal memungkinkan beliau mengikut jejak langkah Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri iaitu selama 22 tahun seandainya ditakdirkan teraju kepimpinan negara kekal di bawah tampuk pemerintahan BN.

Walau bagaimanapun, Najib perlu sedar tugas yang digalas bukan lagi selesa seperti mana yang dinikmati oleh Perdana Menteri sebelum ini. Keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, mengembalikan kepercayaan rakyat dan isu Altantuya sering membayangi dirinya ke mana sahaja beliau pergi sama ada dalam dan luar negara. Saya melihat peri pentingnya beliau membersihkan dirinya sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah. Sumpah yang dilakukan sewaktu Pilihanraya kecil Permatang Pauh tempoh hari dilihat sebagai gimik politik semata-mata.

Beliau menegaskan era kerajaan yang mengenakan rejim kawalan keterlaluan dan mengamalkan sikap seolah-olah 'kerajaan lebih mengetahui' segala-galanya, sudah berlalu. Perdana Menteri berkata, cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur hanya akan mampu dicapai apabila kerajaan dan rakyat bersama bersatu tenaga mencapainya. Sudah jelas membuktikan hasrat rakyat untuk melihat sebuah kerajaan yang bertindak menjadikan rakyat sebagai 'customer' yang dihormati, disayangi dan dihargai bakal menjadi realiti sekiranya Najib dan anggota kerajaan melaksanakan apa yang diucapkan.

Sebuah kerajaan yang terbaik bertindak berdasarkan konsep FROM PEOPLE TO THE PEOPLE and LEADER AS A SERVANT.... Konsep ini bukan retorik semata-mata, dan seandainya pihak kepimpinan di bawah Datuk Seri Najib merealisasikan dua kata-kata ini, ada kemungkinan rakyat akan kembali arah menyokong penuh kepimpinan Barisan nasional seperti suatu ketika dahulu. Hasrat Najib di awal perlantikan yang tidak mahu mementingkan lagi karpet merah, bunga manggar dan kompang sebagai acara wajib semasa kehadiran menteri ke sesuatu tempat.Sebaliknya, apa yang penting ialah kehadiran menteri tersebut ke kawasan-kawasan. mengambil cakna dan menyelesaikan masalah rakyat merupakan satu tugas yang lebih penting. YB bukan lagi dikira sebagai Yang Berhormat, sebaliknya YANG BERKHIDMAT kepada rakyat yang sentiasa melihat dan mempunyai kuasa besar yang diberikan setiap 5 tahun sekali.

Justeru, kepada saf kepimpinan baru yang dikepalai oleh Datuk Seri Mohd Najib, selamat menjalankan tugas dengan jayanya.