Thursday, April 9, 2009

Kabinet 2009: Kejutan atau Jangkaan?

Y.B. Ahmad Maslan (Pontian)
Timb. Menteri di Jabatan Perdana Menteri


Y.B. Razali Ibrahim (Muar)
Timb. Menteri Belia dan Sukan
Y.B. Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat)
Timb. Menteri Pelajaran

Kabinet 2009 telah selamat diumumkan secara rasmi pada petang semalam @ Khamis 9 April 2009. Ketika artikel ini ditulis, jemaah menteri dan timbalan menteri yang dilantik sedang menangkat sumpah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di hadapan Yang Di Pertuan Agong. Barisan Kabinet yang disifatkan menggabungkan muka lama dan baru untuk merealisasikan hasrat yang sering dilaung-laungkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak iaitu 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan'. Adalah diharapkan kata-kata indah tersebut direalisasikan demi kepentingan rakyat bukan dijadikan sebagai manifestasi yang retorik indah di telinga semata-mata.

Kabinet kali ini memperlihatkan 7 orang menteri kabinet digugurkan iaitu Menteri Dalam Negeri, Dato Syed Hamid Albar, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A Aziz; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ong Ka Chuan; Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique. Antara Timbalan menteri yang digugurkan ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron dan Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon.
Keciciran nama Ketua Pemuda UMNO yang baru, Y.B. Khairy Jamaluddin dilihat sebagai salah satu usaha Najib menunjukkan kepada rakyat untuk melantik pemimpin yang berintegriti. Khairy yang sebelum ini dikaitkan dengan kesalahan rasuah menjelang Perhimpunan UMNO hanya diberi amaran oleh Lembaga Disiplin parti. Cukup menakjubkan saya, walaupun diisytiharkan bersalah, namun beliau tetap menang jawatan ketua Pemuda tersebut dengan majoriti lebih 50 undi berbanding dua calon favourite yang lain iaitu Datuk Seri Mohd Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir.

Walau bagaimanpun, Sebagai anak jati Johor, saya turut berasa teruja melihatkan kementerian penting yang menguasai isu pendidikan dalam kerajaan diterajui pemimpin dari Johor. Selain Tan Sri Muhyiddin Yasin (Pagoh) yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Y.B. Dr. Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat) dan Datuk Dr. Wee Kah Siong (Ayer Hitam). Kementerian Pengajian Tinggi turut memperlihatkan Datuk Mohd Khaled Nordin (Pasir Gudang) meneruskan tanggungjawab yang digalas olehnya sejak setahun lalu. Timbalannya iaitu Dr. Hou Kok Chung (Kluang) juga merupakan anak jati Johor. Turut tersenarai dari Johor ialah Razali Ibrahim, (Timb. Menteri Belia dan Sukan serta ahli parlimen saya sendiri, Ahmad Maslan (Pontian) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Y.B. Ahmad Maslan merupakan seorang pemimpin baru yang dilihat agak bersih dalam kabinet. Anak kampung Parit Yusof, Benut ini seringkali dilihat bersama rakyat dalam majlis keraian, perasmian dan sebagainya. Ucapan beliau yang pada saya agak berbeza dengan kebanyakan pemimpin UMNO yang lain, di mana beliau lebih mementingkan nilai merendah diri dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Pernah menerajui organisasi besar iaitu FELDA menjadikan beliau lebih berpengalaman dan berdedikasi dalam melaksanakan tugas. Tidak hairanlah rakyat sekitar Pontian lebih mengenali beliau berbanding Ahli Parlimen sebelum ini.

Sekalung tahniah dan takziah kepada beliau atas tanggungjawab baru yang bakal dilaksanakan olehnya. Adalah menjadi harapan saya khususnya dan rakyat daerah Pontian amnya melihat satu anjakan perubahan baru oleh beliau setelah menjawat jawatan Timbalan Menteri selepas ini. Besar harapan kami untuk beliau melaksanakan janji yang telah ditaburkan sebelum ini.

Buat semua jemaah menteri kabinet yang baru, selamat menjalankan tugas dengan jayanya. Tugas berat ini sebagai amanah berat oleh ALLAH s.w.t. bukan untuk dibanggakan semata-mata dan dijadikan batu asas untuk memenuhkan poket peribadi dan kroni semata-mata. Sebaliknya, kepentingan rakyat seharusnya menjadi perkara pokok dalam tindakan.
Selamat bertugas kepada semua Jemaah Kabinet demi kepentingan rakyat :)

No comments: