Thursday, February 26, 2009

PPSMI : PIBG SELURUH NEGARA TURUT BANTAH?

Aktivis mahasiswa Berbaiah menentang PPSMI baru-baru ini
Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya..... Sila klik di sini untuk selanjutnya...

Saya kagum dengan keberanian PIBG menonjolkan suara mereka untuk isu nasional yang hangat diperkatakan sekarang ini berkaitan pendidikan iaitu PPSMI... Memetik kata-kata Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan:
"Sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac."Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram."Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia). "Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

Pada hemat saya selaku pendidik yang baru sebulan diuji di alam pendidikan sekolah menengah, saya melihat keberkesanan PPSMI hanya menguntungkan kira-kira 15% pelajar sahaja. Siapakah mereka?
1. Mereka yang lahir di bandar dan mempunyai pelbagai kemudahan selesa untuk menikmati sistem pebelajaran dalam Bahasa Inggeris yang berkesan
2. Mereka yang lahir dari sebuah keluarga yang agak "luar biasa" iaitu telah dilatih bertutur dalam Bahasa Inggeris sejak kecil
3. Mereka yang dari golongan yang berkemampuan, iaitu ibu bapa yang hidup mewah sanggup membayar dan menikmati apa jua kemudahan asalkan anak mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan selesa
4. Mereka yang bersungguh-sungguh dan faham serta dianugerahkan oleh Allah kefahaman yang cukup mudah untuk menguasai bahasa dan pembelajaran...

Persoalannya? Berapa ramaikah mereka? Kajian menunjukkan daripada lebih 400 000 calon yang menduduki peperiksaan UPSR, hanya lebih kurang 60, 000 (jika tidak silap saya) menggunakan medium bahasa Inggeris untuk menjawab (untuk makluman soalan kini masih dwibahasa) setelah masuk tahun ketujuh dasar PPSMI dilaksanakan di sekolah-sekolah, Berbaloikah? Persoalannya, bangsa mana yang memanfaatkan peluang tersebut? Adakah bangsa Melayu, Cina atau India? Bukan niat penulis hendak menimbulkan sentimen perkauman tetapi penulis yakin dan sebagai rakyat kita harus akur tentang kemampuan dan hakikat ini.

Kemudahan yang diberikan kepada guru-guru PPSMI, pertama kemudahan komputer riba, kedua, elaun khas sebanyak 10% dari gaji bulanan, cuba bayangkan gaji seorang pendidik sebulan secara purata RM 3000, jadi jumlahnya berapa? apabila didarab dengan 12 bulan (setahun) dan didarab lagi dengan 7 tahun perlaksanaan? RM 300 x 12 x 7 = RM 25 200 (secara puratanya seorang pendidik yang terlibat dengan PPSMI. Apakah istimewanya mereka ini jika dibandingkan dengan guru-guru lain yang turut mengajar di sekolah yang sama, waktu yang sama cuma mata pelajaran yang berbeza? Hakikatnya, kerajaan telah menetapkan wang tersebut adalah insentif untuk guru PPSMI meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris untuk mengajar kepada murid. persoalannya, berapa ramaikah guru yang berbuat demikian? Dengan kesuntukan masa mengajar, tugas tambahan di sekolah dsb... Adakah guru-guru terbabit benar-benar mengajar dengan menggunakan Bahasa Inggeris di dalam bilik darjah?

Ketiga, cuba bayangkan dalam sebuah tingkatan di sebuah sekolah (tempat saya mengajar), ada enam buah kelas yang ditempatkan pelajar secara "streaming" maknanya ikut pencapaian akademik.. Kajian peribadi yang dibuat dalam kelas yang saya mengajar sekarang, Kelas pertama terdiri daripada pelajar yang mendapat purata 5A hingga 8A dalam PMR pada tahun lalu... manakala kelas keenam terdiri daripada pelajar yang mendapat 6E hingga 8E dalam peperiksaan yang sama... Purata setiap darjah ada 30 orang pelajar dan kelas pertama hingga ketiga secara puratannya sebahagian daripada pelajar di setiap kelas dihuni oleh pelajar Cina berbeza dengan kelas keempat, kelima dan keenam di mana 80% adalah Melayu.

Saya pernah bertanya kepada pelajar tentang kefahaman dalam subjek Sains, begitu juga dengan guru-guru PPSMI, hampir 95% dan meminta dikembalikan kepada sistem asal. Alasannya, pelajar kita (Melayu) makin hari makn ketinggalan.

Pada hemat saya, secara peribadi saya tidak menolak 100% PPSMI memandangkan saya akui ada kebaikan dalam sistem ini. Cuma mungkin apabila dinisbahkan dengan keburukan jumlahnya ialah 15:85... Kebaikannya adalah kepada pelajar yang dapat mengikuti pembelajaran dengan baik, faham sekaligus memudahkan mereka apabila melanjutkan pelajaran ke institusi dalam mahupun luar negara pada suatu hari nanti.. Manakala keburukan seperti mana yang kita lihat pada hari ini, bukti, fakta kes, analisis dan rasional terbentang di depan mata..

Secara peribadi, saya menyarankan untuk mengelakkan pembaziran yang berterusan, serta menghasilkan 'towering personality" yang sebenar, reformasi pendidikan besar-besaran perlu dilaksanakan, bukan sekadar untuk PPSMI, tetapi keseluruhan sistem yang pada masa kini berorientasikan peperiksaan dan terlalu 'memanjakan pelajar'

Banyak kemungkinan dan ramalan boleh dibuat, andaian demi andaian perlu dihasilkan, kemungkinan PPSMI diteruskan tetapi perlu dibuat secara optional iaitu pelajar yang benar-benar mampu dan berminat untuk mengikuti pengajian alam persekolahan dalam Bahasa Inggeris sahaja.. Bukan berniat untuk mendiskriminasi, tetapi kita perlu kembali kepad fitrah iaitu setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Kita tidak boleh menolak hakikat zaman moden ini bukan zaman untuk kita beretorik dan memperjuangkan idea politik sempit semata-mata...

Transformasi pendidikan besar-besaran perlu direncanakan. Peluang mengikuti aliran vokasional perlu diberi kepada pelajar khususnya lepasan PMR untuk mengelakkan mereka kerugian disebabkan oleh sistem yang diciptakan dan dipersetujui oleh kita sendiri, Sistem 'Belajar, Lulus Baru Boleh Naik Darjah @ Tingkatan' perlu dikaji dan diperhalusi keberkesanannya berbanding sistem "MEMANJAKAN" yang berlaku sekarang ini untuk memberi lebih tekanan dan semangat kepada pelajar hari ini untuk terus belajar dan berusaha. Memang perit dan nampak seolah-olah kita menoleh ke belakang, meniru zaman silam, tapi harus diingat, zaman silam itulah yang melahirkan beribu-ribu Professor, ahli akademik dan pemimpin yang berkualiti pada hari ini...

Akhir kalam, fikir-fikirkan, renung-renungkan, salam mesra dan salam ukhuwah... :)

Eeeee... 'seronoknya' bila TOL NAIK LAGI :p

Salam alaik...
'Terkezut' bila terbaca berita tentang kenaikan kadar tol... Alhamdulillah, mungkin ini salah satu hikmah saya menolak satu jawatan yang agak menarik pada minggu lepas di ibu negara... Dengan mengambil timbangtara pelbagai faktor, jangka masa panjang dan pendek termasuk kadar sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang, tambahan pula dengan faktor keluarga, saya mengambil keputusan nekad untuk kekal di negeri selatan buat masa ini...

Berbalik kepada isu tol, ada beberapa perkara yang menarik minat saya pada hari ini...

Pertama, kenyataan rasmi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed

"Bagi Plus, kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus ( Lebuhraya E1 dan E2) akan dinaikkan sebanyak 0.68 sen sekilometer bagi kenderaan Kelas 1, bagaimanapun kenaikan itu tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata, Sprint-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol dinaikkan antara 30 sen dan 50 sen bagi kenderaan kelas satu manakala bagi Akleh, kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kenderaan Kelas 1. "Kadar tol di Lebuhraya Besraya dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kenderaan Kelas 1 dan bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines berikutan Plaza Tol Salak Jaya ditutup pada 24 Februari lalu. Sementara itu bagi Lebuhraya NPE pula, kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kelas kenderaan yang sama," katanya. - Bernama.. Petikan dari Bharian online


Kedua: Petikan dari Y.A.B. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya oleh media

“Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean di sini hari ini.

“Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah,” katanya. : Sumber :- Utusan Online

Ketiga:
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong turut melahirkan rasa terkilan dengan pengumuman kenaikan itu dan meminta kerajaan menelitinya semula.
"Kita masih ada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, saya harap perkaraini dikaji semula bagi meringankan beban pengguna jalan," katanya. : Sumber :- Utusan Online


Keempat:
Datuk Seri Azmi Khalid @ bekas salah seorang Menteri Kabinet sesi 2004-2008, (BN-Padang Besar) tidak menafikan merasai bebanan kenaikan tol biarpun memahami akan perjanjian yang dibuat kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya.

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya.
Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, berkata beliau faham bahawa terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yangmengizinkan kenaikan tol dibuat. "Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat," katanya. : Sumber :- Utusan Online

Kelima:
Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menyifatkan kenaikan kadar tol padamasa kini tidak wajar. "Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya.

Saya terkejut melihat satu kenyataan yang bercanggah daripada seorang Perdana Menteri, Menteri kabinet dan Timbalan Menteri.. Apakah sebenarnya yang berlaku? Mengapakah Menteri Kerjaraya tidak membincangkan dahulu dalam mesyuarat kabinet pada hari esok sebelum mengumumkannya di media? Tidakkah ada rasa belas kasihan melihat beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga barang asasi dan keperluan lantaran "keputusan gila" oleh pihak kerajaan menaikkan harga petrol pada 4 Jun lepas? Tidakkah mereka terfikir kesan kenaikan harga tol kepada rakyat? Peniaga akan menjadikan alasan kenaikan tol untuk menaikkan harga barang lagi selepas ini... Mampukah amaran oleh Pak Lah atau Menteri Kabinet diakuri oleh mereka? Atau hanyalah sekadar tempelan taring ketegasan oleh pihak kerajaan? Fikir-fikirkan.. Saya sudah muak, rakyat sudah mual... malahan ada yang sudah terlalu loya lantaran tidak sabar menanti masa bersatu membuktikannya dalam peti undi pada PRU ke 13... Fikir-fikirkan....

Monday, February 23, 2009

Salam...
Bertemu lagi pada entri kali ini.. sejak dua minggu ini, saya berkesempatan menjadi guru pengiring merangkap fasilitator untuk seminar kecemerlangan PMR dan SPM untuk dua buah sekolah di daerah Pontian dan Batu Pahat... Alhamdulillah, pertemuan dengan sahabat2 KRIM @ Kelab Remaja ISMA Johor di mana Pengerusi kelab tersebut merupakan seorang pendidik di sekolah saya bertugas sekarang.. Pengalaman melihat pengendalian slot motivasi, kembara malam, explorace dan sebagainya yang dikendalikan oleh kelab ini banyak memberi 1001 pengalaman berharga buat diri saya. Insya ALLAH, jika diizinkan dan diberi peluang, saya akan mengikuti kem ini setiap minggu memandangkan jadual mingguan setiap sekolah di daerah untuk kem ini telah diatur dengan rapi.. Berikut dikongsi gambar kenangan bersama dua buah sekolah sepanjang 2 minggu ini..
Sila layari blog ini untuk maklumat lanjut ; http://krimjohor.blogspot.com/
Merenung masa depan :P

Mesyuarat bersama para fasilitator

Khusyuknya mesyuarat sambil melihat handphone :P

Penceramah Sdra Akhwan Affandi: Tidak dinafikan
ada iras Mawi begitu juga dengan suaranya

Inilah Sekolah tempatku berkhidmat
Salah sebuah sekolah terlibat
Salam ukhuwwah, salam kemaafan,
salam kecemerlangan untuk adik2 calon PMR dan SPM 09

Bersama barisan fasilitator

Slot Kembara Malam

Ustaz Asri Rabbani turut hadir sebagai penceramah jemputan

Riadhah dan modul


"Assalamualaikum pakcik", slot praktikal ziarah dari rumah ke rumah...

Friday, February 20, 2009


Tahniah kepada saf kepimpinan Ma'ruf Club sesi 2009 yang diketuai oleh akh Mohd Faridzul Nasaruddin, akh Muhammad Zaki Sukery dan Ukhti Nurul Syuhada Shuib dan seluruh aktivis mahasiswa khususnya Ma'ruf Club UIAM kerana telah memecah tradisi awal tenure 2009 meletakkan tokoh2 siasah dari pelbagai parti di negara kita di dalam satu forum yang bakal diadakan pada minggu hadapan.


Nama Program :
Intellectual Dialogue Towards Upholding Ummatic Aspiration : Implication of Current Phenomenon Towards The Future of Malaysia
Tarikh :
24 Februari 2009 (Isnin)
Masa :
8.30 malam
Tempat :
Main Auditorium, UIAM

Isu-isu yang akan dibincangkan:
1. Isu Perak dari kacamata perundangan dan perlembagaan
2. Isu moral dan integriti ahli politik di Selangor
3. Kestabilan sosial yang diketepikan
4. Keparahan ekonomi negara pada saat ini
5. Peranan mahasiswa Islam dalam memperjuang nasib ummah pada saat ini
*Semua Dijemput hadir terutama golongan mahasiswa kerana isu ini berkait rapat tentang masa depan mahasiswa sendiri yang mana kita adalah enerasi yang akan menentukan masa depan negara.AYUH!!bersama kita memeriahkan forum ni.tolong sebarkan kepada sahabat-sahabat terdekat.~
Let's Discover the Beauty of Islam ~

Thursday, February 12, 2009

7 APRIL: PENENTUAN 2 BUAH BUKIT


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah memutuskan untuk mengadakan pilihanraya serentak bagi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dun Bukit Selambau di Kedah pada 7 April 2009. Tentunya seluruh negara tertumpu arah kepada kedua-dua pilihanraya ini bagi melihat sokongan rakyat khususnya terhadap isu rampasan kuasa oleh kerajaan Najib Altantuya pada minggu lalu.


Komen penulis akan disambung kemudian

’Himpunan Menjunjung Setia-Daulat Tuanku!’

Salam...
Saya mengucapkan tahniah dan sekalung penghargaan kepada pemuda UMNO diketuai oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, yang akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran iaitu "Himpunan Menjunjung Setia - Daulat Tuanku" pada hari Khamis, 18 Februari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 8 malam. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, himpunan itu bakal menyatukan suara hati generasi muda secara lebih tersusun dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kedaulatan Institusi Raja-Raja dan Sistem Raja Berperlembagaan.
Saya amat berharap agar niat himpunan tersebut benar-benar ikhlas, bukan sekadar menjadi polemik UMNO lebih-lebih lagi apabila bakal berhadapan dengan dua pilihanraya kecil yang kedua-duanya milik Pakatan Rakyat. UMNO perlu sedar bahawa rakyat Malaysia pada hari ini sudah celik dan matang berfikir serta bertindak. UMNO juga perlu sedar tujuan program ini bukan sekadar untuk menunjukkan hanya UMNO sahaja yang mampu mendaulatkan raja Melayu...
Tidakkah kau lupa...
Seorang bekas Menteri Besar Selangor yang kini bertanding sebagai calon jawatan Timbalan presiden UMNO @ bakal TPM boleh dengan tidak malu tumpang sekaki menuduh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka sedangkan semua orang tahu beliau adalah "kepala penderhaka" apabila dengan tanpa segan silu sanggup melarikan anak Raja.
Tidakkah kau lupa...
Seorang bekas Menteri merangkap peneraju perhubungan UMNO negeri Kelantan yang tergila-gila sanggup berarak untuk membawa Tengku Ibrahim dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu bagi menggantikan Sultan Kelantan suatu ketika dahulu? Siapa lagi kalau bukan penderhaka Umno. Mungkin parti itu menganggap mengganti sultan semudah menukar pengerusi JKKK.
Tidakkah kau lupa...
Siapakah yang telah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983 kalau bukan UMNO?. Kerakusan Umno mempertahankan kuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meminda peruntukkan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang DiPertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat
Tidakkah kau lupa...
Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka raja-raja dan pemimpin kerajaan yang dikuasai oleh UMNO mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum yang dianjurkan oleh UMNO telah meletakkan kedudukan raja dipandang hina masyarakat awam.
Tidakkah kau lupa...
Pertembungan antara UMNO dengan Raja sekali lagi berlaku pada tahun 1990. Pertembungan tersebut berlaku selepas UMNO kalah teruk di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Mana-mana orang yang tidak buta sejarah seperti pemimpin Umno tentu tidak dapat melupakan bagaimana Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 menyaksikan kritikan-kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.
Pihak istana Kelantan dibidas dengan terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan, mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya (lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m.s. 13).
Niat saya meletakkan FAKTA KES di atas bukan niat untuk menjatuhkan aib UMNO, mengungkit sejarah silam apatah lagi hanya menyebelahi Pakatan Rakyat seolah-olah hanya Pakatan Rakyat yang maksum dan syumul segalanya. Sama sekali tidak... Saya akui Pakatan Rakyat juga mempunyai masalah tersendiri, adat berpasangan dan berkeluarga, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula gabungan Pakatan yang terdiri dari 3 buah parti yang berbeza... Tetapi saya yakin dan terus yakin bahawa gandingan antara Pakatan tersebut sudah mula akrab dan menunjukkan kegemilangan dalam mentadbir.
Ya, memang benar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui telah "menyembah sembah derhaka" semasa beliau diminta oleh Yang Mulia Tuanku Sultan untuk mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Perak. Apabila seseorang tidak bersetuju dengan titah sultan menjadi adat dan bahasa istana seseorang akan menyatakan "hamba memohon untuk menyembah sembah derhaka".
"Sembah derhaka" bermaksud tidak bersetuju dalam bahasa rakyat. Di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Menteri-Menteri Besar saya difahamkan dipanggil "hamba tua" . Ini bahasa istana dan nak buat macam mana?
Malangnya Umno yang jahil dengan bahasa istana menganggap Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai derhaka apabila memohon "menyembah sembah derhaka. Naif dan ceteknya pemikiran UMNO...
Sekali lagi saya berharap agar ’Himpunan Menjunjung Setia-Daulat Tuanku yang bakal berlangsung pada minggu hadapan bukanlah suatu helah politik pemuda UMNO semata-mata. Saya mencabar pemuda UMNO seluruh Malaysia, jika anda benar-benar ikhlas, sila datang ke Himpunan tersebut dengan niat yang suci dan perbelanjaan sendiri... (sebab sudah banyak habuan yang diterima sebelum ini) bukan hanya disebabkan elaun dan wang pampasan yang bakal diterima sebagai pemenuh kerusi di dewan PWTC pada malam tersebut (adat kebiasaan UMNO sebegitu, untuk menjadikan ia nampak gah di kaca televisyen), apatah lagi menggunakan himpunan tersebut sebagai medan kempen menabur wang ringgit demi mendapat sokongan untuk Perhimpunan Agung UMNO yang bakal menjelang pada bulan hadapan.
Saya mencabar kepimpinan Pemuda UMNO...
Jangan jadikan himpunan tersebut sebagai medan menghentam Kerajaan Perak sebelum ini yang diambil alih oleh anda secara HARAM... sebaliknya jadikan ia sebagai medan untuk anda bermuhasabah diri, adakah anda benar-benar Parti Melayu yang memperjuangkan idealisma Melayu yang tulen! Secara jujurnya, saya cintakan bangsa saya, tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu bangsa saya ditipu oleh sebuah parti pengkhianat bangsa, pemutar fakta, penipu negara yang hanya berkhidmat demi memenuhkan kocek kroni dan mengaburi mata rakyat jelata dengan pembangunan fizikal semata-mata....

CATATAN HARI INI

Saya mengambil keputusan untuk beralih arah bagi entry kali ini dengan tidak menyiarkan komentar peribadi berkenaan isu berat, terutamanya siasah. Hari ini adalah hari yang memberi ketenangan minda buat diri saya... Setelah sekian lama meninggalkan alam persekolahan iaitu kira-kira 7 tahun yang lalu, pengalaman pada pagi tadi mengingatkan saya akan sejarah silam sewatu di hari persekolahan... Takwim awal tahun persekolahan tidak lengkap tanpa Hari Sukan sekolah..dan peristiwa ini ketika diimbau hampir sedekad yang lalu, menyebabkan saya tertawa sendirian... Apa tidaknya, hari sukan sekolah akan menyebabkan saya untuk mencipta 1001 alasan untuk tidak melibatkan diri dengan acara sukantara, terutamanya olahraga. Pelbagai alasan diberi kepada guru pasukan, lebih-lebih lagi ketika itu saya tinggal di asrama, keraa tidak mahu terlibat dengan acara sukantara, saya sanggup menawarkan diri menjadi pembantu warden menceriakan asrama sewaktu hari sukan, alasan tidak sihat, dsb.. agak nakal lagi apabila saya di tingkatan 5, mengambil kesempatan 'beruzlah' di Bilik Pengawas sekolah ketika sukantara.. hehe.. (Nakalnya diriku ini... hehe :p)Apabila mengimbau kenangan tersebut, dan membandingkan situasi kini apabila saya bergelar pendidik yang berhadapan dengan pelbagai keletah dan ragam pelajar di sekolahku.. pelajar abad ke 21...saya tersenyum sendirian... Dalam hati saya berdetik, "agaknya inilah perasaan guruku suatu ketika dahulu... mendidikku dengan penuh sabar... melayani setiap karenahku dan rakan-rakan yang lain... Terima kasih guru.. Ku hadiahkan Al-Fatihah buat semua guru yang telah mendidikku sejak di bangku sekolah rendah sehingga aku menjadi seperti hari ini... Terima kasih cikgu :)"



































































Tuesday, February 10, 2009

Antara Lompat Parti dan Letak Jawatan

Salam..
Isu lompat parti oleh 3 ADUN di Perak masih belum reda. Ia disusuli dengan kembalinya ke Rahmatullah Y.B. Roslan Shaharum, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak pada pagi 9 Februari 2009 @ Isnin. Pemergian mengejut Allahyarham merupakan satu cabaran besar bagi PAS khususnya bersama dengan komponen Pakatan Rakyat yang sedang menghadapi serangan hebat dari UMNO yang menggunakan kuasa media massa dan media cetak berikutan pengambilalihan secara 'HARAM' kerajaan negeri Perak yang baru. Menambah cabaran getir, pada hari yang sama, ADUN Bukit Selambau, V. Arumugam merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah meletak jawatan berikutan tekanan dan masalah peribadi yang dihadapi.
Jentera BN terus menerus menggunakan media massa dan media cetak menyerang, menghentam Pakatan Rakyat habis-habisan. Saya sendiri meluat melihat siaran berita TV3 yang menggunakan ayat seolah-olah Pakatan Rakyat terlalu hina. Acapkali saya terfikir, Tidak sedarkah kerajaan Barisan Nasional bahawa antara punca kejatuhan mereka semasa PRU 13 pada 8 Mac lalu berpunca dari provokasi media melampau yang direncana oleh mereka sendiri? Tidakkah mereka insaf akan perbuatan yang mereka lakukan? Adakah mereka ingat bahawa rakyat Malaysia terlalu bodoh diperlakukan sedemikian?
Berita yang ke udara di siaran rasmi kerajaan, RTM dan syarikat penyiaran kesayangan Barisan Nasional, TV3 sejak seminggu kebelakangan ini seolah-olah menyiarkan Pakatan Rakyat terlalu gilakan kuasa, tidak sedar diri, tidak hormat kepada sistem raja, derhaka kepada pemerintah dan 1001 macam lagi yang negatif. Seolah-olah hanya Barisan Nasional @ UMNO yang hebat memerintah, mampu memberi pembangunan fizikal, dan pelbagai lagi yang manis ibarat madu dan gula hanya berada di Barisan Nasional @ UMNO, sedangkan Pakatan Rakyat ibarat hampas yang tidak menyumbang apa-apa...
Berita tentang himpunan rakyat menentang majlis angkat sumpah MB HARAM di hadapan Istana Iskandariah pada Jumaat lalu diterjemahkan sebagai sikap rakyat yang biadap, turun ke jalanan dan tidak menghormati institusi sultan. Sedangkan demonstrasi oleh NGO (kononya, walhal didalangi oleh UMNO pada hemat saya), Pemuda UMNO dan sebagainya diangkat sebagai pejuang bangsa, menjulang kedaulatan Istana...(walhal saya lihat mereka berdemonstrasi sambil tersenyum, malah ada yang ketawa)
Lupakah mereka....
  • Siapakah yang menentang keputusan Istana dalam isu perlantikan Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Perlis selepas Plilihan raya ke 12 yang lalu?

Lupakah mereka....

  • Siapakah yang memasang dan membawa kain rentang bertulis.. "KAMI MAHU IDRIS... NATANG", dalam isu perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru? Kepada siapakah ayat itu ditulis? Siapakah yang menolak perlantikan Idris sebagai MB untuk penggal berikutnya?

Lupakah mereka....

Siapakah yang mengadakan demonstrasi dan rapat umum bersama kain pemidang menolak Menteri Besar Terengganu yang baru selepas PRU 12 baru-baru ini?

Lupakah mereka....

  • Siapakah yang menyamakan puak-puak yang turun ke jalanan, berdemonstrasi sebagai 'BERUK-BERUK DI JALAN RAYA" semasa Perhimpunan Agung UMNO 2007?

Kesemua soalan ini dan banyak lagi, jawapan terletak pada kita... seluruh rakyat Malaysia, yang menyaksikan, melihat dengan mata hati, apa yang telah dilakukan... disuarakan... dibawa oleh kerajaan ketika ini. Saya tidak menafikan dan menghargai usaha kerajaan menaikkan nama Malaysia dari sudut pembangunan fizikal Malaysia sehingga nama Malaysia tersergam di persada dunia.. TETAPI, di sebalik itu terdapat realiti dan hakikat yang terpaksa kita akur dilakukan oleh mereka dan sewajarnya ditentang habis-habisan...

Fikir-fikirkan.... Renung-renungkan..

Monday, February 9, 2009

TAKZIAH


Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Y.B. Roslan Shaharum, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 1 tengah hari tadi @ 9 Februari 2009.... Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman....

Sunday, February 8, 2009

Perak oh Perak....




Kemuncak kesabaran pemimpin UMNO dikepalai pemimpin yang dicanang menjadi PM pada bulan hadapan, Najib Razak tidak dapat ditahan lagi. Selepas tewas di Permatang Pauh pada 26 November lepas, diikuti kekalahan memalukan di Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu, saya melihat signal sudah terpancar, kedua-dua pemilihan mencatat penurunan ketara sokongan rakyat terhadap BN yang telah memerintah lebih setengah abad. Kalau dahulu rakyat mudah digula-gulakan dengan material dan isu pembangunan, namun kini segala-galanya telah berubah. Rakyat lebih memandang kepada janji yang lebih realistik sesuai dengan tuntutan zaman, serta kualiti calon yang dipilih sebagai wakil rakyat @ YB yang mampu membawa suara keramat rakyat ke DUN mahupun parlimen bukan sekadar menjadi agen kekayaan kroni semata-mata. Rakyat sudah jelak dengan itu semua. Bukti kukuh diterjemahkan kira-kira 11 bulan yang lalu iaitu pada 8 Mac 2008.

Namun, tanggal 4 Februari yang lalu, tatkala rakyat negeri Perak sedang bergembira meraikan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Shah, pihak BN dikepalai oleh Najib telah mencatat satu sejarah yang tidak mungkin dapat dimaafkan oleh penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat negeri Perak khususnya. Desas-desus mengenainya telah dapat dirasai sejak awal minggu di dada akhbar tempatan dengan kehilangan 2 orang ADUN PKR (Behrang dan Changkat Jering) yang terlibat dengan skandal rasuah dan bakal menerima keputusan mahkamah dalam minggu ini @ 10 Februari.

Kemuncak kerakusan, tamak dan haloba si Najib tidak dapat disangkal lagi pada petang Rabu, 4 Februari 2008 apabila beliau dengan rasa tidak bermaruahnya, tanpa segan silunya dan sambil tersenyum lebar mengeluarkan kenyataan rasmi di kaca televisyen milik kesayangan negara @ TV3 diiringi dua orang ADUN @ pesalah yang menanti hukuman mahkamah telah mengumumka menjadi ADUN Bebas, sambil si Najib turut mengumumkan bahawa BN bakal mengambil alih tampuk kerajaan Negeri Perak dalam sedikit masa lagi. Paling mengejutkan dan merentap perasaan, seorang ADUN DAP dari Jelapang turut membuat kejutan mengumumkan menjadi ADUN Bebas bersama 2 ADUN PKR tersebut. Saat yang dinantikan oleh BN akhirnya tiba, kehilangan Datuk Nasarudin Hasan, ADUN Bota sejak pagi Rabu, yang disebut-sebut memilih jalan bijak oleh pemimpin utama PR memasuki PKR 2 minggu lalu akhirnya terpaksa menjadi ahli 'lompat melompat' dengan kembalinya ke pangkuan UMNO dalam masa 2 minggu dengan 3 alasan yang cukup tidak masuk akal. Barangkali, apalah agaknya pujuk rayu, paksaan, sogokan dan perbuatan yang dilakukan oleh Najib dan konco-konconya kepada keempat-empat ADUN ini? Saya seringkali terfikir kalau wang ringgit menjadi ganjaran, tidak cukupkah dengan pendapatan dan elaun sebagai YB selama ini, kenderaan rasmi Exco dan bermacam keistimewaan yang diperolehi. Apakah agaknya habuan yang dijanjikan oleh si Najib yang tamak lagi rakus itu? Adalah amat mustahil dan tak masuk akal sekiranya keempat-empat ADUN ini mengakui menjadi Bebas dan menyokong UMNO atau menjadi ahli UMNO semula atas kerelaan sendiri, untuk perjuangan Melayu yang tulen, dan apa-apa lagilah. Bahkan rakyat yang tinggal di ceruk kampung sekalipun boleh berfikir asas perkara ini dengan relevan.

6 Februari 2009 mencatat satu sejarah dalam krisis politik negeri Perak. Tatkala BN diketuai Najib Razak meraikan kemenangan menakluki negeri Perak yang saya sifatkan sebagai paling 'tidak bermaruah' dalam sejarah politik negara, lebih 3000 rakyat memenuhi perkarangan Masjid Ubudiyyah berdekatan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar untuk meluahkan rasa kecewa yang amat sangat serta merayu DYMM Sultan Perak untuk mempertimbangkan keputusan. Najib dan segelintir jemaah menteri dan konco-konconya dengan lagak dan ego menyifatkan kerajaan Perak yang ada sekarang stabil dan tidak ada lagi ADUN dari BN mahupun Bebas yang akan berpaling tadah selepas ini. Upacara angkat sumpah Menteri Besar BN dihiasi dengan laungan demonstrasi. Menurut seorang rakan yang mengikuti demonstrasi tersebut, para pelajar dari sekolah berdekatan @ Madrasah Idrisiah turut melaungkan Takbir berulangkali tanda menyokong kepimpinan pakatan rakyat. Alangkan pelajar sekolah menengah pun memahami situasi, apatah lagi rakyat negeri Perak yang saya yakin cukup matang situasi politik ketika ini.

Pada hemat saya, tragedi dan senario politik yang berlaku pada ketika ini benar-benar menguji Pakatan Rakyat khususnya PAS kerana Menteri Besar Perak dari parti tersebut. Semangat setiakawan dan kerjasama antara parti sudah tentunya diganggu gugat akibat peristiwa ini. Hanya nilai perpaduan dan keutuhan antara pemimpin parti mampu menyelamatkan keadaan tatkala Barisan Nasional dikepalai Najib sedang ketawa besar mengarap Pakatan rakyat retak menanti belah.

Bagi saya seorang pemerhati kerdil, ada beberapa ingatan buat Najib dan penyokong Barisan Nasional terutamanya:

  • Buat si Najib, TAHNIAH kerana anda berjaya menutup pekung anda yang telah gagal mengemudi jentera Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dengan menggadai jatidiri anda mendapatkan 'kemenangan murahan' di Perak, TAHNIAH!! ... saya yakin seluruh jentera BN tumpang berbangga atas kebijaksanaan anda mengatur strategi paling dahsyat lagi hebat yang mencatat rekod baru siasah di Malaysia tatkala anda menanti hari untuk mengganti Pak LAH sebagai PM ke 6
  • Tapi.. anda harus ingat... Jangan berbangga dengan kerakusan dan kejelekan politik yang tidak bermaruah dilakukan oleh anda ketika ini, rakyat Negeri Perak bijak menilai tingkah laku anda dan saya yakin mereka andainya BN masih meneruskan tindakan ini, rakyat Perak akan menterjemahkan pada PRU ke 13 nanti. Anda harus ingat 54% rakyat Perak menyokong PR pada PRU ke 12
  • Malahan lagi, Anda perlu beringat di mana 10 DUN yang dimenangi oleh UMNO @ BN di Perak pada PRU ke 12, jumlah majoriti di bawah 1000 undi. Malah ada beberapa kerusi mencatat perbezaan undi di bawah 100 undi. Rakyat Perak memerhati tindak tanduk anda

Buat ADUN PR, Pakatan Rakyat dan para penyokong, saya berharap:

  • Memastikan semangat setiakawan dikekalkan dan terus utuh walau diganggu dengan badai dan ombak BN yang rakus menggunakan segala jenis alat terutama media massa, media cetak dsb
  • Memastikan kerajaan negeri lain yang dikuasai oleh PR khususnya Kedah yang diisytihar oleh Najib menjadi idaman mereka selepas ini dapat dikekalkan di bawah pimpinan PR
    ADUN Pakatan rakyat perlulah sedar bahawa mereka dipilih oleh rakyat atas dasar parti dan tanggungjawab membawa suara keramat dan membela nasib rakyat, bukan melompat sesuka hati hanya kerana habuan material yang tidak seberapa. Ingatlah soalan dan pembalasan ALLAH itu pada suatu hari nanti atas amanah yang anda bawa
  • Para penyokong seharusnya sedar matlamat berada dan menyokong parti, bukan sekadar menyokong membuta tuli dek kerana taksub kepada ikon masing-masing. Alhamdulillah, PAS adalah parti yang mendukung sistem tarbiyyah melalui usrah, tamrin dsb yang melahirkan jundullah yang ikhlas berjuang. Saya berharap niat yang tersemat di sanubari masing-masing terutamanya YB @ ADUN tidak mudah goyah dek kerana nafsu material semata-mata

Buat sahabat aktivis mahasiswa @ Abnaul Harakah...

  • Bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang diperolehi, sistem tarbiyyah yang dilalui selama ini wajar dimanifestasikan dan dipertingkatkan lagi tahap kualitinya bagi melahirkan jundullah yang ikhlas berjuang

  • Mengeluarkan bakat dan karisma masing-masing seoptimum mungkin sama ada dari bentuk penulisan, idea, kritikan dan analisa tentang situasi politik pada hari ini terutama di Perak. Jadikan pengalaman pahit pada ketika ini sebagai satu medan untuk kita sama-sama terjemahkan kepada satu kenangan manis dalam PRU ke 13 nanti

  • Melibatkan diri bersungguh-sungguh dan bertekad menebus tindakan tidak bermaruah BN di Perak pada hari ini

Justeru, kita harus sedar bahawa peristiwa di Perak pada ketika ini banyak membawa 1001 hikmah walaupun ia amat pahit untuk ditelan. Segalanya adalah perancangan ALLAH s.w.t. dan sebagai Islam, kita harus yakin dan pasti bahawa ALLAH s.w.t. adalah sebaik-baik perancang... Usaha, doa dan tawakkal yang berterusan bagi seorang pejuang amatlah penting. Pergantungan kita adalah kepada ALLAH s.w.t. semata-mata kerana Dialah sebaik-baik pengatur.
Wallahu A'lam

Tuesday, February 3, 2009

WUFI, PKPIM Harus Segera Berbincang


oleh: Mior Isfandy Mior Azizan @ Aktivis Mahasiswa

Saya menulis untuk melontarkan pandangan peribadi saya kepada dua buah gerakan mahasiswa di UIAM.Saya pernah terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Kampus dari tahun 2005 hingga 2007. Malah, saya juga berkawan dengan teman-teman PKPIM atas tuntutan ‘aqidah dan persaudaraan sesama Muslim.
Saya secara peribadi agak terkilan selepas Pilihanraya Kampus 2008/2009 di UIAM ini masih ada suara-suara yang menyuarakan rasa ketidakpuasan hati diantara satu sama lain.
Dalam masa yang sama, seteru-seteru politik sebenar bergelak ketawa melihat karenah dan telatah kita yang mengakui sebuah gerakan dakwah. Walhal, agenda mengislahkan massa di UIAM khususnya masih lagi belum diperkasakan dan dinaiktarafkan ke satu tahap yang membanggakan.
WUFI dan PKPIM mempunyai sejarah perjuangan yang unik di UIAM. Sejak tahun 1980-an lagi, dua buah gerakan ini seringkali dikaitkan diantara satu sama lain. Samada positif mahupun negatif.
WUFI dan PKPIM juga pernah membentuk kerajaan campuran di awal tahun 2000. Dan, saya juga percaya kedua-dua belah pihak masih lagi menunding jari dan ingin membuktikan kebenaran masing-masing untuk menyatakan siapakah sebenarnya yang benar-benar komited untuk melaksanakan agenda siyasatud da’wah di UIAM.
Bermula dari sejarah dan persepsi begitu, WUFI dan PKPIM tidak lagi bertahalluf dalam pilihanraya kampus. Saya mengambil contoh, pada tahun 2004, berlaku pertembungan diantara WUFI, PKPIM dan REVO (Pro Aspirasi).
Pada ketika itu, WUFI dan REVO lebih dilihat dominan daripada PKPIM. Saya percaya, sebelum pilihanraya berlangsung, WUFI dan PKPIM telah berjumpa untuk menyatakan pendirian masing-masing dan akan berjanji secara lisan untuk tidak menyerang batang tubuh kedua-dua buah Gerakan Mahasiswa Islam tersebut. Tradisi dan adab sebegini diteruskan sehingga tahun 2006.
Pada tahun 2007, berdasarkan daripada maklumat yang WUFI perolehi, PKPIM telah melakukan kerjasama politik dengan GPMS (Pro Aspirasi). PKPIM dan GPMS telah membahagikan kerusi untuk menentang WUFI disetiap kulliyyah.
Pada tahun tersebut, saya melihat sekiranya WUFI bekerjasama dengan PKPIM, maka WUFI tidak akan mendapat mileage politics yang sebaiknya malah berkemungkinan akan tewas dalam PRK pada tahun tersebut.
Dalam masa yang sama, GPMS dilihat semakin kuat dengan bantuan daripada pihak luar dan sebagainya.
Pada PRK baru-baru ini juga, kenyataan dan bukti yang dibuat oleh Abu Munzir Al-Jerluni (Mohd Ridhwan Abu Bakar) dalam artikelnya yang bertajuk “PKPIM Tidak Matang Berpolitik” masih tidak dijawab secara terbuka oleh wakil PKPIM terutamanya Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Adakah benar PKPIM bekerjasama dengan GPMS @ Pro Aspirasi untuk menentang WUFI? Saya juga yakin hasil daripada maklumat tersebut juga yang menyebabkan WUFI mengambil pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PKPIM dalam PRK pada kali ini.
Saya berpendapat, punca perselisihan ini adalah kerana risalah “Teropong” yang telah dikeluarkan ketika hari berkempen yang lalu.
Mungkin PKPIM berpendapat butiran yang terdapat dalam risalah itu tidak benar dan fitnah, maka saya merasakan adalah lebih baik PKPIM menjelaskan perkara tersebut secara terbuka.
Adalah kurang sopan bagi saya, sekiranya terdapat pimpinan PKPIM yang terus menyerbu kepada wakil WUFI untuk melemparkan kata-kata kesat dan menengking Saudara Ridhwan Bakar dikhalayak ramai dan menghantar SMS untuk tidak memaafkan WUFI sampai bila-bila. Adakah ini yang dikatakan matang bagi pandangan aktivis dan da’ie?
Dasar perjuangan WUFI adalah Islam. Jika dikatakan WUFI diasaskan oleh politisi PAS, maka saya tidak menyanggahnya. Cuma saya ingin bertanya, adakah ia salah?
Adakah salah juga sekiranya WUFI menunjukkan sokongan kepada perjuangan PAS dan dalam masa yang sama beratus-ratus ribu rakyat diluar juga menyokong PAS? WUFI tidak membawa agenda kosong dan hanya menjadi pak turut kepada PAS.
Saya percaya, sekiranya PAS menyalahi dasar perjuangan mereka, WUFI juga akan bangkit menyatakan bantahan. Islam itu boleh dibawa oleh sesiapa sahaja selagimana ia tidak bercanggah dengan syari’at dan sunnah Rasulullah SAW.
Saya kecewa sekiranya kita melaungkan-laungkan idealisme mahasiswa tapi perjuangan kita tidak didasari oleh ruh untuk mengislahkan manusia dan bertepatan dengan ajaran Islam.
Meskipun kita mengatakan dengan tegas bahawa idealisme mahasiswa ini perlu bebas, tapi ia masih lagi tidak lari dari lingkaran haq dan batil serta syurga dan neraka.
Kita kena fahami bahawa perjuangan yang berlandaskan ‘aqidah akan terus didokongi dan disokong sehinggalah hari akhirat.
Atas semangat inilah, WUFI yang akan mengetuai agenda siyasatud da’wah di UIAM pada kali ini sewajarnya membuka pintu-pintu diskusi bersama semua front mahasiswa terutamanya PKPIM. Kita akan bersama-sama memperkasakan dan mengislahkan ummah.

Monday, February 2, 2009

Barisan Pro Mahasiswa Mula Bangkit di Kampus

Click Newspaper Article Here :

Barisan Pro Mahasiswa Mula Bangkit di Kampus

Pemilihan MPP Hangat


Berita Harian @ 2nd February 2009

HARI mengundi bagi memilih barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2008/2009 sudah berakhir dan pengumuman jawatan Presiden atau Yang Dipertua baru serta barisan kabinet bakal diumumkan tidak lama lagi bagi menggantikan kepemimpinan lama yang tamat tempoh. Walaupun masih menguasai di majoriti universiti pada pemilihan kali ini, namun kerusi dimenangi kumpulan proaspirasi merosot berbanding tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan kebangkitan promahasiswa di beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terutama di Lembah Klang. Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Afandy Sutrisno Tanjung, berkata peralihan undi daripada proaspirasi kepada promashasiwa disebabkan beberapa faktor tertentu termasuk kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun lalu.

Beliau yang pernah bertanding atas tiket proaspirasi, berkata faktor kejayaan Pakatan Rakyat merampas lima negeri pada PRU ke -12 mempengaruhi pelajar untuk menyokong promahasiswa. “Propaganda di luar kampus yang memburuk-burukkan proaspirasi juga menjadi punca utama. Isu seperti tuduhan proaspirasi meletakkan kepala babi di surau Akademi Pengajian Islam UM dan dakwaan fitnah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris turut dimanipulasi kumpulan promahasiswa untuk menang pemilihan kali ini. “Faktor lain termasuklah perpecahan dalaman calon proaspirasi sendiri. Oleh itu, kemenangan kali ini menjadi pengajaran untuk berkhidmat lebih baik terutama berkaitan kebajikan pelajar,” katanya.

Sementara itu, bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Adib Hatim, berkata suasana di universiti itu tidak boleh disamakan dengan di UM kerana walaupun promahasiswa memenanginya sejak 10 tahun lalu ia dilakukan secara sihat dan bukan pertandingan kepartian ekstrim. Bersetuju dengan Afandy, beliau juga merasakan PRU ke-12 memberi kesan kepada pemilihan MPP kali ini dan ia tidak terhenti di situ saja malah berterusan hingga ke pilihan raya kecil Kuala Terengganu. “Pandangan semua orang perlu didengar kerana pengundi sudah bijak menilai yang baik atau sebaliknya. “Kami tidak mahu dikaitkan dengan parti politik luar kerana ini adalah pemilihan MPP dan isunya juga berlegar sekitar kampus saja. “Kami menyokong sesiapa juga yang mampu membawa perubahan kepada mahasiswa dan jujur dalam perjuangan,” katanya.
Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebagai bekas pemimpin pelajar, beliau berpendapat mahasiswa berhak menentukan sendiri corak politik di kampus. Beliau yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia dan bekas Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, berkata pelajar bebas menentukan sama ada hendak bertanding di atas tiket individu atau berkumpulan. “Setahu saya, tiada peraturan yang melarang mahasiswa bertanding secara berkumpulan dan jika mereka menggelarkan kumpulan atau diri dengan nama tertentu, itu adalah hak mereka. “Tetapi saya tidak bersetuju jika pengurusan universiti melabel mahasiswa sebagai prokerajaan atau propembangkang kerana tindakan sedemikian akan menimbulkan diskriminasi dan sekatan yang tidak sewajarnya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gelaran yang dilabelkan golongan pelajar terhadap kumpulan mereka sendiri pada pilihan raya kampus, baru-baru ini.
Walaupun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang difahamkan sebagai kubu terkuat promahasiswa sejak 10 tahun lalu, pihak pentadbirannya tidak pernah melabelkan apa-apa gelaran kepada semua calon yang bertanding. Timbalan Rektornya, Datuk Hamidon Abdul Hamid, berkata jika benar pun pelajarnya menggelar diri masing-masing dengan sebarang nama, pihaknya mahu MPP yang dipilih bekerja sama dalam menjaga kebajikan semua pelajar. “Selain kebajikan, tugas utama mereka adalah memastikan penyatuan umat untuk seluruh warga universiti, selain memberi keutamaan kepada isu lebih besar seperti serangan Israel terhadap Gaza dan bukan hanya untuk golongan tertentu saja. “Selepas tamat pengajian nanti terpulang kepada mereka jika ingin aktif dalam mana-mana parti politik kerana yakin kami mampu melahirkan pemimpin pelajar berfikiran kritikal,” katanya.