Kemuncak kesabaran pemimpin UMNO dikepalai pemimpin yang dicanang menjadi PM pada bulan hadapan, Najib Razak tidak dapat ditahan lagi. Selepas tewas di Permatang Pauh pada 26 November lepas, diikuti kekalahan memalukan di Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu, saya melihat signal sudah terpancar, kedua-dua pemilihan mencatat penurunan ketara sokongan rakyat terhadap BN yang telah memerintah lebih setengah abad. Kalau dahulu rakyat mudah digula-gulakan dengan material dan isu pembangunan, namun kini segala-galanya telah berubah. Rakyat lebih memandang kepada janji yang lebih realistik sesuai dengan tuntutan zaman, serta kualiti calon yang dipilih sebagai wakil rakyat @ YB yang mampu membawa suara keramat rakyat ke DUN mahupun parlimen bukan sekadar menjadi agen kekayaan kroni semata-mata. Rakyat sudah jelak dengan itu semua. Bukti kukuh diterjemahkan kira-kira 11 bulan yang lalu iaitu pada 8 Mac 2008.
Namun, tanggal 4 Februari yang lalu, tatkala rakyat negeri Perak sedang bergembira meraikan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Shah, pihak BN dikepalai oleh Najib telah mencatat satu sejarah yang tidak mungkin dapat dimaafkan oleh penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat negeri Perak khususnya. Desas-desus mengenainya telah dapat dirasai sejak awal minggu di dada akhbar tempatan dengan kehilangan 2 orang ADUN PKR (Behrang dan Changkat Jering) yang terlibat dengan skandal rasuah dan bakal menerima keputusan mahkamah dalam minggu ini @ 10 Februari.
Kemuncak kerakusan, tamak dan haloba si Najib tidak dapat disangkal lagi pada petang Rabu, 4 Februari 2008 apabila beliau dengan rasa tidak bermaruahnya, tanpa segan silunya dan sambil tersenyum lebar mengeluarkan kenyataan rasmi di kaca televisyen milik kesayangan negara @ TV3 diiringi dua orang ADUN @ pesalah yang menanti hukuman mahkamah telah mengumumka menjadi ADUN Bebas, sambil si Najib turut mengumumkan bahawa BN bakal mengambil alih tampuk kerajaan Negeri Perak dalam sedikit masa lagi. Paling mengejutkan dan merentap perasaan, seorang ADUN DAP dari Jelapang turut membuat kejutan mengumumkan menjadi ADUN Bebas bersama 2 ADUN PKR tersebut. Saat yang dinantikan oleh BN akhirnya tiba, kehilangan Datuk Nasarudin Hasan, ADUN Bota sejak pagi Rabu, yang disebut-sebut memilih jalan bijak oleh pemimpin utama PR memasuki PKR 2 minggu lalu akhirnya terpaksa menjadi ahli 'lompat melompat' dengan kembalinya ke pangkuan UMNO dalam masa 2 minggu dengan 3 alasan yang cukup tidak masuk akal. Barangkali, apalah agaknya pujuk rayu, paksaan, sogokan dan perbuatan yang dilakukan oleh Najib dan konco-konconya kepada keempat-empat ADUN ini? Saya seringkali terfikir kalau wang ringgit menjadi ganjaran, tidak cukupkah dengan pendapatan dan elaun sebagai YB selama ini, kenderaan rasmi Exco dan bermacam keistimewaan yang diperolehi. Apakah agaknya habuan yang dijanjikan oleh si Najib yang tamak lagi rakus itu? Adalah amat mustahil dan tak masuk akal sekiranya keempat-empat ADUN ini mengakui menjadi Bebas dan menyokong UMNO atau menjadi ahli UMNO semula atas kerelaan sendiri, untuk perjuangan Melayu yang tulen, dan apa-apa lagilah. Bahkan rakyat yang tinggal di ceruk kampung sekalipun boleh berfikir asas perkara ini dengan relevan.
6 Februari 2009 mencatat satu sejarah dalam krisis politik negeri Perak. Tatkala BN diketuai Najib Razak meraikan kemenangan menakluki negeri Perak yang saya sifatkan sebagai paling 'tidak bermaruah' dalam sejarah politik negara, lebih 3000 rakyat memenuhi perkarangan Masjid Ubudiyyah berdekatan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar untuk meluahkan rasa kecewa yang amat sangat serta merayu DYMM Sultan Perak untuk mempertimbangkan keputusan. Najib dan segelintir jemaah menteri dan konco-konconya dengan lagak dan ego menyifatkan kerajaan Perak yang ada sekarang stabil dan tidak ada lagi ADUN dari BN mahupun Bebas yang akan berpaling tadah selepas ini. Upacara angkat sumpah Menteri Besar BN dihiasi dengan laungan demonstrasi. Menurut seorang rakan yang mengikuti demonstrasi tersebut, para pelajar dari sekolah berdekatan @ Madrasah Idrisiah turut melaungkan Takbir berulangkali tanda menyokong kepimpinan pakatan rakyat. Alangkan pelajar sekolah menengah pun memahami situasi, apatah lagi rakyat negeri Perak yang saya yakin cukup matang situasi politik ketika ini.
Pada hemat saya, tragedi dan senario politik yang berlaku pada ketika ini benar-benar menguji Pakatan Rakyat khususnya PAS kerana Menteri Besar Perak dari parti tersebut. Semangat setiakawan dan kerjasama antara parti sudah tentunya diganggu gugat akibat peristiwa ini. Hanya nilai perpaduan dan keutuhan antara pemimpin parti mampu menyelamatkan keadaan tatkala Barisan Nasional dikepalai Najib sedang ketawa besar mengarap Pakatan rakyat retak menanti belah.
Bagi saya seorang pemerhati kerdil, ada beberapa ingatan buat Najib dan penyokong Barisan Nasional terutamanya:
- Buat si Najib, TAHNIAH kerana anda berjaya menutup pekung anda yang telah gagal mengemudi jentera Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dengan menggadai jatidiri anda mendapatkan 'kemenangan murahan' di Perak, TAHNIAH!! ... saya yakin seluruh jentera BN tumpang berbangga atas kebijaksanaan anda mengatur strategi paling dahsyat lagi hebat yang mencatat rekod baru siasah di Malaysia tatkala anda menanti hari untuk mengganti Pak LAH sebagai PM ke 6
- Tapi.. anda harus ingat... Jangan berbangga dengan kerakusan dan kejelekan politik yang tidak bermaruah dilakukan oleh anda ketika ini, rakyat Negeri Perak bijak menilai tingkah laku anda dan saya yakin mereka andainya BN masih meneruskan tindakan ini, rakyat Perak akan menterjemahkan pada PRU ke 13 nanti. Anda harus ingat 54% rakyat Perak menyokong PR pada PRU ke 12
- Malahan lagi, Anda perlu beringat di mana 10 DUN yang dimenangi oleh UMNO @ BN di Perak pada PRU ke 12, jumlah majoriti di bawah 1000 undi. Malah ada beberapa kerusi mencatat perbezaan undi di bawah 100 undi. Rakyat Perak memerhati tindak tanduk anda
Buat ADUN PR, Pakatan Rakyat dan para penyokong, saya berharap:
- Memastikan semangat setiakawan dikekalkan dan terus utuh walau diganggu dengan badai dan ombak BN yang rakus menggunakan segala jenis alat terutama media massa, media cetak dsb
- Memastikan kerajaan negeri lain yang dikuasai oleh PR khususnya Kedah yang diisytihar oleh Najib menjadi idaman mereka selepas ini dapat dikekalkan di bawah pimpinan PR
ADUN Pakatan rakyat perlulah sedar bahawa mereka dipilih oleh rakyat atas dasar parti dan tanggungjawab membawa suara keramat dan membela nasib rakyat, bukan melompat sesuka hati hanya kerana habuan material yang tidak seberapa. Ingatlah soalan dan pembalasan ALLAH itu pada suatu hari nanti atas amanah yang anda bawa - Para penyokong seharusnya sedar matlamat berada dan menyokong parti, bukan sekadar menyokong membuta tuli dek kerana taksub kepada ikon masing-masing. Alhamdulillah, PAS adalah parti yang mendukung sistem tarbiyyah melalui usrah, tamrin dsb yang melahirkan jundullah yang ikhlas berjuang. Saya berharap niat yang tersemat di sanubari masing-masing terutamanya YB @ ADUN tidak mudah goyah dek kerana nafsu material semata-mata
Buat sahabat aktivis mahasiswa @ Abnaul Harakah...
- Bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang diperolehi, sistem tarbiyyah yang dilalui selama ini wajar dimanifestasikan dan dipertingkatkan lagi tahap kualitinya bagi melahirkan jundullah yang ikhlas berjuang
- Mengeluarkan bakat dan karisma masing-masing seoptimum mungkin sama ada dari bentuk penulisan, idea, kritikan dan analisa tentang situasi politik pada hari ini terutama di Perak. Jadikan pengalaman pahit pada ketika ini sebagai satu medan untuk kita sama-sama terjemahkan kepada satu kenangan manis dalam PRU ke 13 nanti
- Melibatkan diri bersungguh-sungguh dan bertekad menebus tindakan tidak bermaruah BN di Perak pada hari ini
Justeru, kita harus sedar bahawa peristiwa di Perak pada ketika ini banyak membawa 1001 hikmah walaupun ia amat pahit untuk ditelan. Segalanya adalah perancangan ALLAH s.w.t. dan sebagai Islam, kita harus yakin dan pasti bahawa ALLAH s.w.t. adalah sebaik-baik perancang... Usaha, doa dan tawakkal yang berterusan bagi seorang pejuang amatlah penting. Pergantungan kita adalah kepada ALLAH s.w.t. semata-mata kerana Dialah sebaik-baik pengatur.
Wallahu A'lam
No comments:
Post a Comment