oleh: Mior Isfandy Mior Azizan @ Aktivis Mahasiswa
Saya menulis untuk melontarkan pandangan peribadi saya kepada dua buah gerakan mahasiswa di UIAM.Saya pernah terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Kampus dari tahun 2005 hingga 2007. Malah, saya juga berkawan dengan teman-teman PKPIM atas tuntutan ‘aqidah dan persaudaraan sesama Muslim.
Saya secara peribadi agak terkilan selepas Pilihanraya Kampus 2008/2009 di UIAM ini masih ada suara-suara yang menyuarakan rasa ketidakpuasan hati diantara satu sama lain.
Dalam masa yang sama, seteru-seteru politik sebenar bergelak ketawa melihat karenah dan telatah kita yang mengakui sebuah gerakan dakwah. Walhal, agenda mengislahkan massa di UIAM khususnya masih lagi belum diperkasakan dan dinaiktarafkan ke satu tahap yang membanggakan.
WUFI dan PKPIM mempunyai sejarah perjuangan yang unik di UIAM. Sejak tahun 1980-an lagi, dua buah gerakan ini seringkali dikaitkan diantara satu sama lain. Samada positif mahupun negatif.
WUFI dan PKPIM juga pernah membentuk kerajaan campuran di awal tahun 2000. Dan, saya juga percaya kedua-dua belah pihak masih lagi menunding jari dan ingin membuktikan kebenaran masing-masing untuk menyatakan siapakah sebenarnya yang benar-benar komited untuk melaksanakan agenda siyasatud da’wah di UIAM.
Bermula dari sejarah dan persepsi begitu, WUFI dan PKPIM tidak lagi bertahalluf dalam pilihanraya kampus. Saya mengambil contoh, pada tahun 2004, berlaku pertembungan diantara WUFI, PKPIM dan REVO (Pro Aspirasi).
Pada ketika itu, WUFI dan REVO lebih dilihat dominan daripada PKPIM. Saya percaya, sebelum pilihanraya berlangsung, WUFI dan PKPIM telah berjumpa untuk menyatakan pendirian masing-masing dan akan berjanji secara lisan untuk tidak menyerang batang tubuh kedua-dua buah Gerakan Mahasiswa Islam tersebut. Tradisi dan adab sebegini diteruskan sehingga tahun 2006.
Pada tahun 2007, berdasarkan daripada maklumat yang WUFI perolehi, PKPIM telah melakukan kerjasama politik dengan GPMS (Pro Aspirasi). PKPIM dan GPMS telah membahagikan kerusi untuk menentang WUFI disetiap kulliyyah.
Pada tahun tersebut, saya melihat sekiranya WUFI bekerjasama dengan PKPIM, maka WUFI tidak akan mendapat mileage politics yang sebaiknya malah berkemungkinan akan tewas dalam PRK pada tahun tersebut.
Dalam masa yang sama, GPMS dilihat semakin kuat dengan bantuan daripada pihak luar dan sebagainya.
Pada PRK baru-baru ini juga, kenyataan dan bukti yang dibuat oleh Abu Munzir Al-Jerluni (Mohd Ridhwan Abu Bakar) dalam artikelnya yang bertajuk “PKPIM Tidak Matang Berpolitik” masih tidak dijawab secara terbuka oleh wakil PKPIM terutamanya Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Adakah benar PKPIM bekerjasama dengan GPMS @ Pro Aspirasi untuk menentang WUFI? Saya juga yakin hasil daripada maklumat tersebut juga yang menyebabkan WUFI mengambil pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PKPIM dalam PRK pada kali ini.
Saya berpendapat, punca perselisihan ini adalah kerana risalah “Teropong” yang telah dikeluarkan ketika hari berkempen yang lalu.
Mungkin PKPIM berpendapat butiran yang terdapat dalam risalah itu tidak benar dan fitnah, maka saya merasakan adalah lebih baik PKPIM menjelaskan perkara tersebut secara terbuka.
Adalah kurang sopan bagi saya, sekiranya terdapat pimpinan PKPIM yang terus menyerbu kepada wakil WUFI untuk melemparkan kata-kata kesat dan menengking Saudara Ridhwan Bakar dikhalayak ramai dan menghantar SMS untuk tidak memaafkan WUFI sampai bila-bila. Adakah ini yang dikatakan matang bagi pandangan aktivis dan da’ie?
Dasar perjuangan WUFI adalah Islam. Jika dikatakan WUFI diasaskan oleh politisi PAS, maka saya tidak menyanggahnya. Cuma saya ingin bertanya, adakah ia salah?
Adakah salah juga sekiranya WUFI menunjukkan sokongan kepada perjuangan PAS dan dalam masa yang sama beratus-ratus ribu rakyat diluar juga menyokong PAS? WUFI tidak membawa agenda kosong dan hanya menjadi pak turut kepada PAS.
Saya percaya, sekiranya PAS menyalahi dasar perjuangan mereka, WUFI juga akan bangkit menyatakan bantahan. Islam itu boleh dibawa oleh sesiapa sahaja selagimana ia tidak bercanggah dengan syari’at dan sunnah Rasulullah SAW.
Saya kecewa sekiranya kita melaungkan-laungkan idealisme mahasiswa tapi perjuangan kita tidak didasari oleh ruh untuk mengislahkan manusia dan bertepatan dengan ajaran Islam.
Meskipun kita mengatakan dengan tegas bahawa idealisme mahasiswa ini perlu bebas, tapi ia masih lagi tidak lari dari lingkaran haq dan batil serta syurga dan neraka.
Kita kena fahami bahawa perjuangan yang berlandaskan ‘aqidah akan terus didokongi dan disokong sehinggalah hari akhirat.
Atas semangat inilah, WUFI yang akan mengetuai agenda siyasatud da’wah di UIAM pada kali ini sewajarnya membuka pintu-pintu diskusi bersama semua front mahasiswa terutamanya PKPIM. Kita akan bersama-sama memperkasakan dan mengislahkan ummah.
No comments:
Post a Comment