Thursday, February 26, 2009

PPSMI : PIBG SELURUH NEGARA TURUT BANTAH?

Aktivis mahasiswa Berbaiah menentang PPSMI baru-baru ini
Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya..... Sila klik di sini untuk selanjutnya...

Saya kagum dengan keberanian PIBG menonjolkan suara mereka untuk isu nasional yang hangat diperkatakan sekarang ini berkaitan pendidikan iaitu PPSMI... Memetik kata-kata Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan:
"Sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac."Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram."Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia). "Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

Pada hemat saya selaku pendidik yang baru sebulan diuji di alam pendidikan sekolah menengah, saya melihat keberkesanan PPSMI hanya menguntungkan kira-kira 15% pelajar sahaja. Siapakah mereka?
1. Mereka yang lahir di bandar dan mempunyai pelbagai kemudahan selesa untuk menikmati sistem pebelajaran dalam Bahasa Inggeris yang berkesan
2. Mereka yang lahir dari sebuah keluarga yang agak "luar biasa" iaitu telah dilatih bertutur dalam Bahasa Inggeris sejak kecil
3. Mereka yang dari golongan yang berkemampuan, iaitu ibu bapa yang hidup mewah sanggup membayar dan menikmati apa jua kemudahan asalkan anak mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan selesa
4. Mereka yang bersungguh-sungguh dan faham serta dianugerahkan oleh Allah kefahaman yang cukup mudah untuk menguasai bahasa dan pembelajaran...

Persoalannya? Berapa ramaikah mereka? Kajian menunjukkan daripada lebih 400 000 calon yang menduduki peperiksaan UPSR, hanya lebih kurang 60, 000 (jika tidak silap saya) menggunakan medium bahasa Inggeris untuk menjawab (untuk makluman soalan kini masih dwibahasa) setelah masuk tahun ketujuh dasar PPSMI dilaksanakan di sekolah-sekolah, Berbaloikah? Persoalannya, bangsa mana yang memanfaatkan peluang tersebut? Adakah bangsa Melayu, Cina atau India? Bukan niat penulis hendak menimbulkan sentimen perkauman tetapi penulis yakin dan sebagai rakyat kita harus akur tentang kemampuan dan hakikat ini.

Kemudahan yang diberikan kepada guru-guru PPSMI, pertama kemudahan komputer riba, kedua, elaun khas sebanyak 10% dari gaji bulanan, cuba bayangkan gaji seorang pendidik sebulan secara purata RM 3000, jadi jumlahnya berapa? apabila didarab dengan 12 bulan (setahun) dan didarab lagi dengan 7 tahun perlaksanaan? RM 300 x 12 x 7 = RM 25 200 (secara puratanya seorang pendidik yang terlibat dengan PPSMI. Apakah istimewanya mereka ini jika dibandingkan dengan guru-guru lain yang turut mengajar di sekolah yang sama, waktu yang sama cuma mata pelajaran yang berbeza? Hakikatnya, kerajaan telah menetapkan wang tersebut adalah insentif untuk guru PPSMI meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris untuk mengajar kepada murid. persoalannya, berapa ramaikah guru yang berbuat demikian? Dengan kesuntukan masa mengajar, tugas tambahan di sekolah dsb... Adakah guru-guru terbabit benar-benar mengajar dengan menggunakan Bahasa Inggeris di dalam bilik darjah?

Ketiga, cuba bayangkan dalam sebuah tingkatan di sebuah sekolah (tempat saya mengajar), ada enam buah kelas yang ditempatkan pelajar secara "streaming" maknanya ikut pencapaian akademik.. Kajian peribadi yang dibuat dalam kelas yang saya mengajar sekarang, Kelas pertama terdiri daripada pelajar yang mendapat purata 5A hingga 8A dalam PMR pada tahun lalu... manakala kelas keenam terdiri daripada pelajar yang mendapat 6E hingga 8E dalam peperiksaan yang sama... Purata setiap darjah ada 30 orang pelajar dan kelas pertama hingga ketiga secara puratannya sebahagian daripada pelajar di setiap kelas dihuni oleh pelajar Cina berbeza dengan kelas keempat, kelima dan keenam di mana 80% adalah Melayu.

Saya pernah bertanya kepada pelajar tentang kefahaman dalam subjek Sains, begitu juga dengan guru-guru PPSMI, hampir 95% dan meminta dikembalikan kepada sistem asal. Alasannya, pelajar kita (Melayu) makin hari makn ketinggalan.

Pada hemat saya, secara peribadi saya tidak menolak 100% PPSMI memandangkan saya akui ada kebaikan dalam sistem ini. Cuma mungkin apabila dinisbahkan dengan keburukan jumlahnya ialah 15:85... Kebaikannya adalah kepada pelajar yang dapat mengikuti pembelajaran dengan baik, faham sekaligus memudahkan mereka apabila melanjutkan pelajaran ke institusi dalam mahupun luar negara pada suatu hari nanti.. Manakala keburukan seperti mana yang kita lihat pada hari ini, bukti, fakta kes, analisis dan rasional terbentang di depan mata..

Secara peribadi, saya menyarankan untuk mengelakkan pembaziran yang berterusan, serta menghasilkan 'towering personality" yang sebenar, reformasi pendidikan besar-besaran perlu dilaksanakan, bukan sekadar untuk PPSMI, tetapi keseluruhan sistem yang pada masa kini berorientasikan peperiksaan dan terlalu 'memanjakan pelajar'

Banyak kemungkinan dan ramalan boleh dibuat, andaian demi andaian perlu dihasilkan, kemungkinan PPSMI diteruskan tetapi perlu dibuat secara optional iaitu pelajar yang benar-benar mampu dan berminat untuk mengikuti pengajian alam persekolahan dalam Bahasa Inggeris sahaja.. Bukan berniat untuk mendiskriminasi, tetapi kita perlu kembali kepad fitrah iaitu setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Kita tidak boleh menolak hakikat zaman moden ini bukan zaman untuk kita beretorik dan memperjuangkan idea politik sempit semata-mata...

Transformasi pendidikan besar-besaran perlu direncanakan. Peluang mengikuti aliran vokasional perlu diberi kepada pelajar khususnya lepasan PMR untuk mengelakkan mereka kerugian disebabkan oleh sistem yang diciptakan dan dipersetujui oleh kita sendiri, Sistem 'Belajar, Lulus Baru Boleh Naik Darjah @ Tingkatan' perlu dikaji dan diperhalusi keberkesanannya berbanding sistem "MEMANJAKAN" yang berlaku sekarang ini untuk memberi lebih tekanan dan semangat kepada pelajar hari ini untuk terus belajar dan berusaha. Memang perit dan nampak seolah-olah kita menoleh ke belakang, meniru zaman silam, tapi harus diingat, zaman silam itulah yang melahirkan beribu-ribu Professor, ahli akademik dan pemimpin yang berkualiti pada hari ini...

Akhir kalam, fikir-fikirkan, renung-renungkan, salam mesra dan salam ukhuwah... :)

1 comment:

Baba Insyirah Iman said...

adib, g tak demo GMP? Best oOoo.. men bom pemedih mata..pedih mata den..