Sunday, January 18, 2009

P036 : APA KOMEN ANDA? ... KOMEN SAYA....


Salam takzim untuk semua sahabat...

Seperti biasa pada hari ini semua media sedang hangat memaparkan analisa, komentar atau tidak keterlaluan jika dikatakan satu muhasabah untuk parti Barisan Nasional atau UMNO khususnya. Tatkala pejuang - pejuang PAS sedang melaungkan kegembiraan dengan bertakbir memuji yang Maha Esa sejurus dikhabarkan kemenangan secara tidak rasmi sebelum solat Isyak malam tadi, para pemimpin UMNO terdiri dari orang nombor dua negara, Ketua Wanita, Menteri Besar Terengganu , beberapa jemaah menteri mahupun calon BN sendiri sedang bermuram duka tanda kekecewaan setelah hampir dua minggu berkampung di bumi Darul Iman.

Harapan hanya tinggal harapan, janji perlu dikotakan. Adat pertandingan, pasti ada yang perlu menerima hakikat kemenangan mahupun kekalahan. Saya tertarik membaca akhbar hari ini hyang menyebutkan bahawa calon BN akan tetap meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat Kuala Terengganu walaupun tidak dipilih untuk pilihanraya kali ini. Syabas diucapkan. Moga beliau dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada masyarakat Kuala Terengganu khususnya pembangunan modal insan golongan belia memandangkan beliau merupakan ketua UMNO bahagian tersebut.

Analisis dari ahli akademik jelas menunjukkan trend anak muda hari ini menolak kepimpinan yang bercorak materialistik semata-mata. Sebaliknya, mereka lebih mementingkan idealisma dan dahagakan kepimpinan yang lebih telus dan jujur. UMNO perlu menerima hakikat bahawa masyarakat hari ini sudah celik dan tidak mudah termakan dengan janji gula-gula pembangunan fizikal semata-mata. Sebaliknya, mereka harus menerima perubahan dengan menyeimbangkan dengan pembangunan sahsiah dan rohani tidak kira dari peringkat pemimpin mahupun rakyat bawahan.

Sifat takabbur dan angkuh perlu dihapuskan sama sekali. Wang dan kuasa tidak menentukan segalanya. Sebaliknya sikap mesra rakyat sesuai dengan gelaran Y.B. @ Yang Berkhidmat, mendengar suara dan masalah masyarakat, membantu menyelesaikan masalah dan membawa suara masyarakat ke Dewan Parlimen bukan sekadar menjadi pak hangguk mengiyakan sahaja apa yang dikatakan oleh pimpinan atasan dengan alasan mahu menjaga periuk nasi, projek dan sebagainya.

Buat calon PAS yang baru dilantik, Tahniah dan Takziah diucapkan. Tahniah kerana telah dipilih oleh rakyat dan Takziah kerana Allah s.w.t. telah menguji sekali lagi dengan beban amanah baru yang dipikul sebagai ahli Parlimen di samping tugas sebagai ADUN Wakaf Mempelam.

Buat pimpinan PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya serta seluruh penyokong, pejuang gerakan Islam, kita harus ingat bahawa kemenangan demi kemenangan yang kita perolehi pada hari ini harus diisi dengan sebaik-baiknya. Slogan 'From People to the People' wajar dijadikan ikutan terutama bagi mereka yang bergelar pimpinan. Bagi segenap penyokong Gerakan Islam, marilah kita bersama-sama membantu pimpinan dengan mengaplikasikan kelebihan yang kita ada. Walaupun sumbangan kita mungkin nampak kecil dan tak seberapa, sekadar mengecat banner, menggantung poster, mahupun membacuh kopi untuk petugas, tapi ingatlah tugas yang ikhlas dilakukan semata-mata mengharapkan ganjarannya itulah yang terbaik di mana kita saling melengkapi antara satu sama lain.

Jadikan kemenangan kita pada hari ini satu suntikan untuk kita lebih bersemangat jitu mendokong panji gerakan Islam ke arah melakar dan mencapai cita-cita yang kita harapkan... Mardhatillah...

salam juang, salam tulus ikhlas dari penulis di hujung selatan tanah air...
Bumi Darul Takzim...

No comments: