Sunday, January 18, 2009

PILIHANRAYA KAMPUS UIAM 2009

Salam ukhuwwah...

Setelah lebih 120 hari kabinet Majlis Perwakilan Pelajar UIAM yang ditaklifkan untuk saya menjadi nakhoda meletak jawatan secara rasmi pada 19 September yang lalu, kini tibalah detik yang mendebarkan bagi kebanyakan aktivis mahasiswa dan agak melegakan bagi diri saya sendiri. Rasa lega disebabkan walaupun selama ini telah melepaskan jawatan secara rasmi, tetapi hakikatnya mereka masih menggelarkan kami @ MPP 07/08 sebagai 'Caretaker government'... kononnya lah,:)... Pihak media sama ada media tempatan mahupun alternatif, mahasiswa mahupun sebilangan besar office di UIAM masih menghubungi kami di pihak MPP 07/08 untuk bertanya, mendapat penjelasan tentang sesuatu isu dan sebagainya. Hakikatnya, dalam minggu ini @ khamis/22 Januari, kerusi-kerusi MPP UIAM akan terisi jua dengan pelapis kepimpinan baru sesi 2009. Alhamdulillah...

Pilihanraya kampus UIAM saya jangkakan akan menjadi fokus utama media memandangkan ia adalah antara kampus IPTA terakhir melaksanakan Pilihanraya Kampus berbanding dengan kampus utama lain seperti UM yang akan berlangsung esok @ Isnin manakala kampus lain telah selesai pada minggu lalu. Paling menarik dan memecah sejarah PRK pada tahun ini, tarikh telah ditunda sebanyak 3 kali dalam masa 2 minggu.

Notis pertama yang keluar pada 5 Januari lalu jam 4 petang memecah kebuntuan sahabat2 yang berteka-teki berhubung tarikh PRK iaitu 12 Jan (penamaan calon) dan 15 Jan (pengundian) malah ada yang membuat pelbagai andaian tentang permainan terbaru pihak2 tertentu pada kali ini. Tidak sampai 24 jam notis tersebut dikeluarkan, apabila calon yang berkobar-kobar untuk bertanding telah bersedia mengambil borang mengikut tarikh yang dicatatkan keesokan harinya @ Selasa, adalah menjengkelkan apabila diberitahu notis semalam dibatalkan atas arahan pihak atasan di UIAM. mereka dikehendaki menunggu tarikh seterusnya.

Maka pada hemat saya, strategi yang saya sifatkan 'nakal' oleh mereka-mereka ini telah bermula. Seperti dijangka, Pilihanraya ditunda kepada satu tarikh baru iaitu pada 16 Jan/Jumaat (Penamaan) dan 19 Jan/Isnin (Pengundian). Maka kebanyakan calon dan para penyokong agak pening memikirkan bagaimanakah strategi berkempen hendak dibuat sedangkan tempoh hari kempen berlaku pada hari Sabtu dan Ahad. Kempen dalam PRK cukup penting untuk memperkenalkan calon, manifesto dan isu yang akan dibawa oleh calon sekiranya dipilih menganggotai kabinet MPP kelak.

Rayuan demi rayuan untuk mengubah tarikh tersebut tidak diterima. Memorandum juga tidak dilayan dengan alasan dan jawapan apabila ditanya isu ini, "pandai-pandai kamu la nak berkempen walaupun pada hujung minggu", "eh, nasib kamu la kali ni" ...hmm....agak tidak profesional pada hemat saya jawapan yang diberi oleh salah seorang kakitangan atasan ini.

Kuasa Allah mengatasi segala perancangan hambanya. Seperti dalam ayat Al-Quran,
ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين
Maka ditakdirkan pada hari Selasa @ 13 Jan yang lalu, seluruh kawasan Gombak mengalami keputusan bekalan air disebabkan satu kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Karak. Pihak SYABAS menjangkakan tempoh lebih 3 hari untuk membaik pulih masalah berkenaan. Maka pihak pentadbiran UIAM telah memutuskan untuk memberi cuti kepada para pelajar pada 16 - 18 Jan. Sekali lagi, PRK terpaksa ditangguhkan. Tetapi penangguhan pada kali ini disambut dengan rasa syukur kerana hikmah yang diperolehi cukup besar iaitu membolehkan calon berpeluang menemui pengundi di kulliyyah masing2.

PRK pada kali ini mempertandingkan 24 kerusi kulliyyah dan 5 kerusi antarabangsa. daripada jumlah itu, 12 kerusi kulliyyah dan 4 kerusi antarabangsa di Gombak manakala selebihnya di Kuantan. Tiada kerusi umum mahupun kolej kediaman dipertandingkan. Atas sebab itu, adalah amat perlu bagi calon untuk meperkenalkan diri masing-masing di peringkat kulliyyah agar para pengundi tidak mengundi secara 'semberono' dan membuta tuli pada hari pengundian.

Saya berdoa dan mengharapkan agar selepas ini tidak lagi berlaku pindaan tarikh walaupun tidak mustahil memandangkan sejarah tahun lepas @ semasa saya bertanding telah membuktikan penamaan calon boleh berlaku sebanyak 2 kali kononya atas alasan calon tidak bersedia walhal pada hakikatnya terdapat tangan-tangan ghaib yang mempengaruhi di belakang tabir.

Buat calon-calon yang bertanding, antum betulkan niat kerana Allah s.w.t., mahu berkhidmat untuk sahabat mahasiswa, membantu dari aspek kebajikan dan pembinaan modal insan serta mengasah bakat kepimpinan yang terpendam dalam diri. Idealisma sebagai mahasiswa itu penting tetapi perlu berpijak di bumi yang nyata. Kita perlu realistik dalam setiap kata-kata mahupun tindakan yang kita ambil dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak. Pujangga ada mengatakan, Berkatalah benar sekalipun pahit. Jalan yang dipilih untuk menjadi calon dan sekiranya ditakdirkan menang menjadi MPP sebenarnya tidaklah seindah yang kita sangka dan harapkan. Keindahan dan kemanisan tersebut hanya akan diperolehi sekiranya keikhlasan mengatasi kemahuan atas apa jua langkah dan tindakan yang dilakukan.

Selamat melangkah ke dewan penamaan calon pagi esok, sematkan niat keikhlasan dan Lillahi Ta'ala di hati masing-masing, selamat berkempen dan semoga berjaya....

Siru 'Ala Barakatillah...

MUHAMMAD ADIB BIN HATIM
Mantan Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 07/08



2 comments:

Muhammad Zaki Sukery said...

salam buat mentor :)

jangan lupa doakan kemenangan Islam & pejuang-pejuangnya di kampus.

MUHAMMAD ADIB BIN HATIM said...

Insya Allah.. Doa ana dan sahabat2 mengiringi kalian walaupun kami tak dapat bersama di kampus buat masa ini...
Istiqamah mendepani cabaran :)